PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui sudah ada perancangan khusus walaupun dua benteng kebal, Dion Cools dan Facundo Garces tidak beraksi pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin, Isnin ini.
Sebagai rekod, pihak pengurusan skuad kebangsaan telah memberi lampu hijau buat Cool pulang ke Jepun dan Garces balik ke Sepanyol selepas membantu Harimau Malaya menewaskan Singapura 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Kata Cklamovski, ketiadaan Garces dan Cools tidak wajar dianggap sebagai masalah besar kerana ia membuka ruang untuk pemain lain tidak mendapat minit permainan untuk mengisi kekosongan di posisi pertahanan dan buktikan keupayaan mereka.
“Ya (Garces telah dilepas) kerana itu memang dalam perancangan (kami). Garces akan kembali ke kelabnya (Deportivo Alaves). Situasi sama melibatkan Cools.
“Kami mahu seimbangkan tahap kecergasan pemain dan identiti pasukan (pada perlawanan bertemu Palestin) kerana ia penting untuk persiapan pada Oktober depan.
“Mengenai potensi untuk memanggil pemain dalam senarai bersedia, saya rasa tiada keperluan ketika ini dan kami akan gunakan skuad sedia ada,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Garces telah dilepaskan lebih awal kerana mahu memberi tumpuan pada aksi La Liga menentang Athletic Bilbao pada 14 September depan.
Mengulas mengenai kejayaan menewaskan Singapura, Cklamovski memuji prestasi pemain di atas padang yang bekerja keras untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong yang hadir ke stadium
“Banyak perkara yang kita belajar pada perlawanan kali ini. Pemain bekerja keras dan kami hormati pasukan lawan, tetapi kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol kali ini.
“Apa yang penting, kita dapat kemenangan positif walaupun masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.
Pada aksi derbi seberang tambak itu, skuad Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-125 dunia meneruskan momentum tanpa kalah tahun ini selepas meraih jaringan hasil penyudah Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo.