PETALING JAYA – Baru kembali langsing selepas bersalin anak sulung, pelakon Datin Atikah Suhaime memilih untuk tidak tergesa-gesa menambah bilangan cahaya mata dalam masa terdekat.
Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Suhaime, 34, percaya masa paling sesuai akan hadir indah pada waktunya tanpa perlu dipaksa.
“Bila mahu mengandung lagi? Lambat lagi!. Rozita Che Wan pun (Che Ta) pun boleh mengandung waktu umur 40-an, elok sahaja.
“Tak perlu terburu-buru, sebab bila mengandung lewat ada risiko tinggi. Jadi saya akan tentukan sendiri bila waktunya.
“Lagi pun Mulan dah ada Abang Owen, bezanya Owen itu abang tiri. Kucing pun dikira juga, jadi lengkaplah sudah adik-beradik,” katanya dalam Instagram Story.
Mengenang pengalaman kehamilan pertama, pelakon filem TanTiAna itu mengakui pernah berdepan cabaran berat badan mendadak naik namun disiplin menjaga pemakanan dan rutin senaman membantu dirinya mendapatkan semula bentuk tubuh asal.
“Masih teringat waktu mengandung, makan banyak sampai badan jadi besar.
“Setengah orang walaupun hamil tetap nampak ramping, tapi saya jadi macam raksasa kecil.
“Sebab itu bila dapat semula bentuk badan asal, saya rasa syukur sangat, Alhamdulillah,” dedahnya.
Atikah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Lokman Teh yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif jenama kecantikan Zaitun, pada Januari 2024.
Pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Lyla Mulan Teh, pada Mac lalu. – KOSMO! ONLINE.