BALING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pihak tertentu yang mencemuh pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 kerana inisiatif itu memerlukan komitmen tinggi kerajaan untuk membantu rakyat.
Kata beliau, pemberian oleh kerajaan tersebut juga dikagumi pemimpin luar termasuk ASEAN yang mengakui sukar untuk melakukan perkara sama.
“Daripada segi bantuan langsung iaitu Sara, memanglah ada orang yang mencemuh bantuan RM100 tetapi apa yang dilupakan, Sara itu tambahan daripada program Sara dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mana kita beri RM15 bilion.
“Bila saya bincang dengan kawan-kawan saya di luar negara terutama pemimpin ASEAN, mereka jawab tak mampu buat perkara sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Madani Rakyat Negeri Kedah, di sini hari ini.
Kata beliau, Perdana Menteri Vietnam baru-baru ini mengumumkan bantuan kepada rakyatnya sekitar RM50 seorang dan pemimpin terbabit bertanya tentang bagaimana kerajaan Malaysia melaksanakan sumbangan dalam jumlah yang lebih besar.
“Pemberian sumbangan ini kerana saya tahu harga barang masih tidak terkawal, walau bagaimanapun tindakan telah dilakukan untuk memecahkan kartel membabitkan barangan seperti ayam, telur dan juga kegiatan penyeludupan.
“Kita melawan sistem yang sudah rosak sekian lama, jadi perlukan tekad politik yang tegas serta kekuatan politik dan pengurus yang cukup berani bertindak,” tambahnya.
Anwar pada masa sama memberi jaminan kerajaan akan terus bersemangat untuk menjaga kebajikan rakyat miskin dan usaha itu akan dikekalkan selaras komitmen kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Harapan saya, rakan-rakan faham. Jangan rasuah, jangan curi harta rakyat. Kita kena jaga supaya jamin kehidupan rakyat lebih baik. Negara mesti aman, ekonomi pula mesti kukuh,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE