KUALA LANGAT – Penelitian semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi mengelakkan nasib penduduk terabai dan diletakkan di tangan pemaju.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemantauan dan penyeliaan syarikat pemaju yang terlibat dengan pembangunan semula itu perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan penduduk terkesan.
Katanya, ini bagi mengelakkan kerajaan dipersalahkan pada kemudian hari.
“Ini seperti berlaku di Flat Tun Razak dan Kampung Sungai Baru. Bila tiada siapa yang bertanggungjawab, pemaju boleh keluar masuk. Bila ada masalah, mereka cuci tangan.
“Akhirnya, kerajaan yang bertanggungjawab. Jadi, kita perlu tengok RUU PSB ini secara terperinci. Kita tidak boleh lagi biarkan nasib penduduk terletak di tangan pemaju,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau yang mengetuai Pasukan Khas UMNO berkaitan RUU PSB itu memaklumkan ia merupakan inisiatif parti ini tersebut kerana melibatkan banyak masyarakat Melayu.
Jelasnya, masyarakat Melayu ada perasaan takut sebab kawasan tergendala ini datang dari kawasan Melayu dan ia amat sensitif.
“Macam di Lembah Pantai, kawasan yang lama dibangunkan semula tetapi yang dapat pemilik asal namun yang lain komersial.
“Rumah jadi mahal-mahal jadi generasi kedua dan ketiga tidak dapat faedah itu. Benda-benda begini saya dapat maklum balas daripada pemegang taruh yang benar-benar terlibat. Ini bukan konsep sebaliknya orang terlibat dan teraniaya,” tegasnya.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan, sekiranya perkara-perkara berkenaan tidak diselia secara jelas melalui RUU berkenaan akan menyebabkan khususnya penduduk yang bakal terlibat tidak yakin akan konsep pembangunan semula tersebut.
Caption