PORT DICKSON – Polis kini sedang mengesan ibu kandung kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam Sungai Linggi di Jeti Tanjung Agas, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, berdasarkan siasatan, lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki bapa kepada mangsa dan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun itu pula merupakan kekasih suspek lelaki.
Menurutnya, kedua-duanya telah ditangkap selepas memberikan keterangan meragukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson semalam.
“Pasangan kekasih itu kini direman selama tujuh hari selepas permohonan dibenarkan di Mahkamah Majistret Seremban bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Ibu kandung dua kanak-kanak berkenaan kini dikesan polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Maslan berkata, kesemua 16 rekod lampau suspek lelaki adalah membabitkan kes jenayah termasuk empat kes dikehendaki polis.
Menurutnya, pihaknya sudah menyoal siasat beberapa individu serta siasatan lanjut masih lagi dijalankan.-KOSMO! ONLINE