fbpx
SAIFUDDIN pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen di SK Rambong Pulai, Baling hari ini.

Siasat suspek seludup M16, transporter atau ahli sindiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Polis menyiasat lanjut sama ada rakyat Malaysia yang ditahan bersama dua laras M16 dan 450 butir peluru di Pekan Danok, Thailand, Sabtu lalu berperanan sebagai transporter atau ahli kepada rangkaian jenayah lebih besar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah diberi taklimat lengkap oleh pihak polis mengenai status kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, siasatan itu termasuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai latar belakang suspek berusia 42 tahun.

“Dalam soal siasat, kita akan mengenal pasti sama ada dia sekadar orang upahan yang menjalankan peranan sebagai transporter ataupun dia sebahagian daripada satu rencana kumpulan jenayah lebih besar.

“Jadi kita akan cari sampai ke penghujung, siapakah dan apa rangkaian yang terlibat dalam skala penangkapan dan rampasan barang yang sebegitu sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen di Sekolah Kebangsaan (SK) Rambong Pulai, di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mempunyai kaitan dengan elemen sindiket atau jenayah melibatkan kumpulan besar dan terancang.

“Walau bagaimanapun, ini masih siasatan awal, siasatan masih berjalan. Thailand siasat, kita pun buat profiling,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada kes mempunyai kaitan dengan kumpulan yang terlibat dalam keganasan, beliau menjelaskan bahawa siasatan awal belum menemukan bukti ke arah itu.

Tambahnya, hasil siasatan akan dimaklumkan pihak Thailand kepada kerajaan Malaysia berdasarkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Ia menerusi kaedah kerajaan ke kerajaan (G2G) dan polis kepada polis (P2P),” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru dalam satu sekatan jalan raya di Danok, Sadao Sabtu lalu.

Suspek berusia 42 tahun itu dicekup kira-kira pukul 5.35 petang ketika memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kanchanawanit, Danok.

Menurut sumber Pasukan Keselamatan Thailand, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.

Suspek dikatakan menerima arahan daripada rakannya bernama Ah Jian untuk mengambil beberapa barangan di Wat Pa Ko Suwannaram di Daerah Na Mom, Wilayah Songkhla, kira-kira 58 kilometer dari Danok.

Semasa tiba di sana, suspek mendakwa seorang lelaki Thailand yang tidak dikenali memandu trak pikap telah meletakkan beg berisi senjata api di dalam kereta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI