PETALING JAYA – Peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar atau lebih dikenali dengan jolokan peguam kotak pensel, dimasukkan ke wad sebuah hospital akibat serangan jantung.
Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya menerusi akaun TikTok Kak Engku Effa yang turut berkongsi gambar Ahmad Zaharil sedang menerima rawatan di dalam wad.
“Kepada sahabat maya saya sekalian, tolong doakan suami saya, Tok Mat sembuh seperti sediakala, serangan jantung.
“Anugerahkanlah kesembuhan buat suamiku ya Allah, agar dia boleh terus berbakti kepada orang yang memerlukan,” katanya pada kapsyen hantaran yang dibuat, malam tadi.
Menerusi ruangan komen, orang ramai mendoakan kesihatan Ahmad Zaharil dan berharap beliau sembuh dengan segera.
“Semoga Tok Mat diberi kesembuhan seperti sediakala,” komen pengguna TikTok Nurul.
“Ya Allah di hari yang mulia ini, saya doakan Datuk Zaharil sembuh sediakala. Banyak fikir Datuk ni, rehat ye Datuk,” komen Izz_rara.
“Semoga Allah angkat kesakitan Tok Mat, diberi kesembuhan dan kesihatan,” kata Wooshie.
Sebelum ini, Ahmad Zaharil tular dengan kisah kotak pensel apabila beliau membantu seorang wanita yang juga tukang cuci ditangkap mencuri bekas pensel di pasar raya untuk anak lelakinya sekitar tahun 1998.
Selepas 25 tahun kemudian, anak wanita itu yang menginjak usia 30-an mencari Ahmad Zaharil, malah dia turut memaklumkan telah bekerja sebagai peguam.
Ahmad Zaharil juga pernah menjadi peguam pro bono mewakili ‘Abang Bas’ pada September lalu berhubung dakwaan pertuduhan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE