SINGAPURA – Roti keluaran rangkaian kedai Duke Bakery di Singapura menjadi tular sempena Festival Qixi kerana bentuknya dikatakan menyerupai najis manusia, lapor saluran berita MSNews hari ini.
Pada 29 Ogos lalu, Duke Bakery memuat naik gambar ‘Chocola Cheese Bread’ berbentuk U berwarna coklat di laman Instagram sempena Hari Kekasih Cina.
“Raikan cinta, hubungan dan detik-detik kecil yang paling bermakna,” tulis Duke Bakery sambil menggalakkan pelanggan menikmati roti coklat kaya dengan rasa keju berkrim itu.
Namun, ramai netizen menganggap roti itu kelihatan kurang romantik dan lebih menyerupai najis.
Hantaran itu menjadi tular, menarik perhatian netizen dan jutaan tontonan.
Dalam kenyataan yang dimuat naik pada 2 September lalu, Duke Bakery meminta maaf atas kekeliruan tersebut dan menjelaskan, bentuk roti itu sebenarnya dimaksudkan menyerupai ladam kuda, simbol tradisional melambangkan tuah.
Roti itu juga sudah dijual selama 13 tahun dan kakitangan Duke Bakery begitu terbiasa dengan rupanya sehingga tidak pernah terfikir ia mungkin dilihat secara berbeza.
“Kami tidak menyangka roti ini akan menjadi tular dan ia sudah pasti bukan niat kami. Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf jika ia mengejutkan sesiapa,” kata Duke Bakery. – AGENSI