fbpx
Majlis akad nikah Che Muhammad dan Nur Sufia di satu ruang dalam HSIP, hari ini. - Foto milik keluarga pengantin dikongsikan Facebook HSIP

Pengantin lelaki kemalangan, akad nikah buat dalam hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang sedang menerima rawatan akibat kemalangan melangsungkan pernikahan bersama pasangannya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan hari ini.

Menerusi Facebook Hospital Sultan Ismail Petra, lelaki tersebut Che Muhammad Rifqi Danial Che Alias, 25, dimasukkan ke Wad 6C Ortopedik, HSIP pada 1 September lalu akibat kemalangan jalan raya.

“Jarang-jarang sekali dapat kita saksikan, sebuah majlis akad nikah berlangsung di dalam hospital. Namun itulah yang berlaku apabila Che Muhammad Rifqi Danial yang dimasukkan ke Wad 6C Ortopedik HSIP akibat kemalangan jalan raya, tetap melangsungkan penyatuan hati bersama pilihan hatinya, Nur Sufia Amalin Che Ramli, 26.

“Memandangkan persiapan majlis telah dirancang sekian lama, kedua-dua pihak keluarga memohon agar akad nikah tetap diteruskan. Pihak HSIP melalui Inisiatif Hospital Mesra Ibadah amat berbesar hati membenarkan serta menyediakan ruang khas agar majlis berjalan dengan lancar.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada pihak Pengurusan HSIP, Jabatan Otopedik HSIP, warga Kejururawatan, Jawatankuasa HMI, Unit Komunikasi Korporat serta Unit Keselamatan yang telah sama-sama membantu menjayakan majlis ini. Semoga pasangan mempelai berbahagia dan diberkati hingga ke jannah,” menurut hantaran berkenaan, hari ini.

Menerusi ruangan komen, orang ramai mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut selain diberikan kesembuhan kepada pengantin lelaki.

“Alhamdulillah. Tahniahlah kepada kedua-dua sahabat ambo. Darat dan laut berbesan, semoga sentiasa dalam lindungan serta rahmat Allah, dipermudah segala urusan, cepat-cepat anakanda sembuh. Bahagia hingga ke syurga insya-Allah,” komen pengguna Facebook G Jae Pok Loh.

“Tahniah kepada pengantin, semoga bahagia kekal ke jannah dan semoga pengantin lelaki cepat sembuh,” komen Ajlarishadham.

“Tahniah kepada kedua-dua mempelai dan seluruh keluarga. Terima kasih kepada pengurusan HSIP,” kata Zawiyah Dollah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN