SERDANG – Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Muhammad Usamah Zaid Yasin, 41, yang menjadi tulang belakang animasi popular Ejen Ali berharap Anugerah Maulidur Rasul Kategori Pengkarya/Inovator Kreatif diterimanya sebagai inspirasi untuk menghasilkan karya bermesej baik.
Beliau juga tidak menyangka apabila terpilih sebagai penerima anugerah selain tidak pernah terfikir karya animasi dihasilkannya turut membuka mata banyak pihak.
“Memang sesuatu yang saya tak sangka sebenaarnya sebab saya berkarya buat kartun. Semestinya daripada pandangan mata saya sendiri, saya merasakan animasi ini satu medium penting dan kuat sebenarnya, sebab itu saya memilih untuk berkerjaya dalam bidang ini.
“Saya mewakili pasukan dan kita tidak pernah menghasilkan satu animasi tanpa mesej. Kita selalu cakap kena ada makna dan nilai yang bagus, bukan hiburan semata-mata.
“Saya harap dengan inspirasi ini dan akan mendorong lagi pengkarya-pengkarya untuk mengangkat mesej-mesej yang baik dan murni,” katanya kepada media pada pada sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M di sini hari ini.
Muhammad Usamah Zaid bermula sebagai pembantu pengarah bagi animasi Upin & Ipin bersama Les’ Copaque Production (2005–2013).
Beliau kemudian mengasaskan syarikat animasi di Cyberjaya dan menerajui siri animasi Ejen Ali sejak 2016 sehingga kini sebagai pengarah kreatif, penulis skrip, pelakon suara, editor dan penerbit eksekutif. – KOSMO! ONLINE