fbpx
Kamal Aljeffri (dua dari kanan) bergambar bersama wakil NGO pada Majlis Pelancaran Platform OprhanSociety di Kuala Lumpur semalam.

OrphanSociety bantu orang ramai miliki anak angkat di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Global (Ensany Global) telah melancarkan platform OrphanSociety bagi membolehkan masyarakat di negara ini nemiliki anak angkat di Gaza, Palestin.

Ketua Pegawai Esekutifnya, Kamal Aljeffri Albukhari berkata, menerusi platfrom pertama seumpama itu di negara ini, orang ramai boleh terus ‘memilih’ anak angkat yang terdiri daripada anak-anak yatim yang berusia antara 3 hingga 17 tahun.

Beliau berkata, ketika ini terdapat lebih 1,000 anak yatim yang boleh dijadikan anak angkat oleh mana-mana individu yang berminat.

“Akan tetapi, anak angkat tersebut tidak dibawa ke sini (Malaysia), bagaimanapun individu yang menjadikan mereka anak angkat ini boleh terus menyalurkan bantuan atau derma kepada mereka di Gaza.

“Bantuan boleh dibuat sama ada secara bulanan, suku tahunan, tahunan ataupun sekali gus (one off).

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana OrphanSociety adalah sistem yang telus, mesra pengguna dan dihubungkan terus dengan penjaga atau saudara mara atau pertubuhan bukan kerajaan yang menjaga anak-anak yatim di Gaza,”katanya.

Mengulas lanjut, Kamal Aljeffri berkata, derma-derma yang disalurkan itu akan digunakan bukan sahaja untuk membiaya makan dan minum mereka, tetapi turut meliputi keperluan lain seperti pendidikan dan kesihatan.

Malah katanya, keluarga angkat di Malaysia juga akan diberi peluang untuk berinteraksi secara terus menerusi panggilan video demgan anak angkat mereka di Gaza pada bila-bila masa.

Menurut beliau, secara puratanya seorang anak yatim di Gaza memerlukan belanja sekurang-kurangnya AS$100 (RM422) sebulan.

“Mungkin ada yang tinggal dengan nenek atau saudara mara yang lain, jadi bantuan ini bukan sahaja digunakan oleh anak yatim tersebut tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.

“Untuk makluman semua, harga makanan di Gaza ketika ini terlalu mahal sehinggakan sebiji telur mampu mencecah sehingga AS$5 (kira-kira RM21) dan bawang pula sekitar AS$20 (RM84),”katanya.

Tambah beliau, sekiranya program itu mendapat sambutan, pihaknya juga akan menambah lagi bilangan anak yatim yang boleh dijadikan anak angkat pada masa akan datang.

Platform itu juga bukan sahaja menyasarkan bantuan derma daripada masyarakat di Malaysia, tetapi ia dibuka kepada 73 negara lain yang turut serta dalam kempen tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI