SETIU – Seramai 30 pelajar Management and Science University (MSU) Kampus Kota Bharu mengambil inisiatif mengecat semula Rumah Botol yang merupakan salah satu tarikan pelancongan di daerah ini.
Pegawai Hal Ehwal Pelajar MSU Kampus Kota Bharu, Wan Kamarul Nizam Wan Mohamed berkata, premis yang merupakan galeri menyimpan puluhan ribu botol beraneka jenis itu dicat baharu bagi menambah keceriaannya sekaligus menarik lebih ramai lagi pengunjung.
“Lawatan kami sebelum ini mendapati cat dinding kayu Rumah Botol sudah lama dan sedikit pudar.
“Sehubungan itu, kami menawarkan diri untuk mengecat semula premis pelancongan tersebut secara percuma,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Rumah Botol, Penarik di sini hari ini.
Wan Kamarul Nizam berkata, pelajar-pelajarnya mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk menyiapkan kerja-kerja mengecat tersebut.
Beliau berkata, pihaknya berharap lebih ramai akan mengunjungi Rumah Botol dan bergambar berlatar belakangkan premis tersebut yang kini lebih berwarna-warni selepas ini.
“Projek komuniti ini juga mendidik pelajar-pelajar kami untuk mendekati dan menyelami kehidupan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, pemilik Rumah Botol, Tengku Mohd. Ali Tengku Mansor, 81, berterima kasih dengan kesudian MSU Kampus Kota Bahru mengecat semula premis yang diusahakannya bersendirian sejak 20 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE