PETALING JAYA – Lima penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu dilaporkan maut dalam kemalangan di Jalan Sulaman, berhampiran Pusat Latihan Rela, Tuaran, Sabah petang ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan di Facebook, tadi.
Asyraf berkata, beliau dimaklumkan nahas tersebut berlaku kira-kira pukul 2 petang melibatkan kesemua mangsa lelaki berusia 19 dan 20 tahun.
“Mendapat perkhabaran yang amat menyedihkan setibanya saya dari Sabah sebentar tadi, berkenaan kemalangan maut yang membabitkan lima penuntut IKM.
“Saya dimaklumkan oleh Pengarah Mara Sabah bahawa kelima-lima (mangsa) terbunuh dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Tambah Asyraf, difahamkan, semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Wish dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Saya meminta Pengarah Mara Sabah dan pengurusan IKM Kota Kinabalu untuk menghubungi keluarga masing-masing dengan segera dan membantu segala keperluan serta mempermudahkan urusan jenazah kelima-lima anak Mara ini.
“Takziah kepada keluarga mangsa dan didoakan kesemuanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. – KOSMO! ONLINE