JAKARTA – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa menjual ratusan daging kucing pada harga 100,000 rupiah (RM26) bagi setiap satu kilogram, lapor portal berita Lambe Turah.
Suspek dikenali sebagai Sujady itu menjual daging kucing di bandar Pagar Alam, wilayah Sumatera Selatan.
Ketua Polis Pagar Alam, AKBP Januar Kencana Setia berkata, penjualan daging itu berlangsung kira-kira empat bulan sejak perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Berdasarkan keterangan suspek, dia telah membunuh lebih 100 ekor kucing. Dia berbuat sedemikian kerana memerlukan duit,” kata Januar.
Suspek menjelaskan bahawa kucing-kucing itu ditangkap di jalan raya atau kawasan perumahan.
“Saya akan berjalan dan menjual 100,000 rupiah bagi satu kilogram. Biasanya saya menjual 120,000 rupiah (RM31) tetapi dikurangkan kepada 100,000 rupiah.
“Seekor kucing akan menghasilkan 1.5 kilogram daging. Organ dalaman haiwan itu tidak dijual,” kata suspek ketika disoal siasat. – AGENSI