SUNGAI PETANI – Tanda tanya kehilangan seorang lelaki sejak seminggu lalu terjawab apabila mangsa ditemui meninggal dunia di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Bandar Perdana, di sini hari ini.
Mayat mangsa, Amir Mat Isa, berusia lingkungan 50-an, ditemui pekerja stesen minyak tersebut kira-kira pukul 5 petang tadi.
Menurut sepupu mangsa yang enggan dikenali, pekerja stesen minyak di situ menghubunginya bagi memaklumkan tentang penemuan kereta Perodua Myvi milik mangsa di situ.
“Pekerja itu memaklumkan dia terhidu bau busuk semasa menghampiri kereta tersebut yang diparkir di situ sejak beberapa hari lalu.
“Dia juga memberitahu terdapat seorang lelaki dalam keadaan tersandar di kerusi pemandu dan tidak bergerak. Saya terus memintanya menghubungi pihak polis sebelum saya dan suami bergegas ke sana,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, sepupunya itu difahamkan baru sahaja keluar dari wad Hospital Sultan Abdul Halim, di sini selepas mendapatkan rawatan penyakit jantung dan diabetes.
“Arwah seorang duda dan bekerja sebagai penjual tiket bas ekspres di bangunan Pusat Transformasi Bandar. Dia tinggal bersama ibunya dan tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu.
“Seluruh ahli keluarga mencarinya di merata tempat. Tak sangka dia akhirnya ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang baru dibelinya seminggu lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan penemuan mayat lelaki di dalam kereta terbabit.
“Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya mangsa telah meninggal dunia lebih daripada dua hari. Mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat di HSAH,” katanya. – KOSMO! ONLINE