PARIT – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi di Sungai Perak di Sungai Baru Lambor Kiri, Bota di sini kelmarin.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kehilangan lelaki berusia 27 tahun itu pada pukul 5.46 pagi tadi.
Berikutan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Ketua operasi telah hadir ke rumah mangsa dan berjumpa dengan waris bagi mendapatkan maklumat kehilangan lelaki itu. Bapa mangsa memaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah sejak Rabu setelah melakukan kerja menguruskan lembu peliharaan masuk ke kandang sekitar pukul 2 petang.
“Mangsa memaklumkan ingin mandi di sungai namun dia tidak pulang ke rumah sehingga hari ini dan hanya bajunya yang ditemui di lokasi tersebut,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE