KUALA LANGAT – Cubaan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia melarikan diri selepas bot pancung mereka dikejar selama 30 minit gagal apabila ditahan di kedudukan 0.04 batu nautika barat daya Morib, semalam.
Penahanan kedua-dua PATI lelaki berusia 22 dan 33 tahun dilakukan kira-kira pukul 1.20 pagi selepas bot dinaiki mereka terkandas di kawasan bakau.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penangkapan melalui Op Khas Jalur Belakang yang mengesan bot berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam hasil maklumat risikan dan bantuan daripada Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Klang
Kata beliau, bot tanpa nombor pendaftaran dinaiki dua PATI itu dipercayai cuba menyusup masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.
“Bot ronda Maritim Malaysia (APMM) diatur gerak ke lokasi dan mengarahkan bot itu berhenti, namun tidak diendahkan. Bot terbabit terus memecut dan berlaku aksi mengejar hampir 30 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, bot berkenaan akhirnya terkandas di kawasan bakau Morib sebelum pemeriksaan dijalankan pihaknya.
Ujarnya, tiada kru ditemui di atas bot, namun hasil pencarian di kawasan sekitar berjaya menemui dua lelaki berkenaan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan masih dijalankan terhadap kedua-dua PATI termasuk sama ada penyeludup migran.
“Bot dan kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan
Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – KOSMO! ONLINE