KABUL – Gempa bumi bermagnitud 6.2 telah menggegarkan Afghanistan, lapor portal berita The Guardian semalam.
Ia berlaku ketika angka korban akibat gempa dahsyat pada Ahad lalu meningkat kepada lebih 2,200 orang.
Menurut Pusat Geosains Helmholtz di Jerman, gegaran itu melanda kawasan tenggara pada malam semalam.
Setakat ini masih belum jelas sejauh mana tahap kerosakan yang berlaku.
Sebelum ini, satu gegaran susulan bermagnitud 5.5 turut melanda pada Selasa lalu, mencetuskan panik dan mengganggu usaha menyelamat apabila lebih banyak jalan terputus akibat runtuhan batu.
Jurucakap Taliban, Hamdullah Fitrat mengesahkan semalam bahawa angka korban daripada gempa bumi bermagnitud 6.0 pada Ahad lalu telah meningkat kepada 2,205 orang.
Jumlah angka korban itu meningkat daripada anggaran sebelumnya iaitu 1,400 orang sekali gus menjadikannya antara bencana alam paling dahsyat yang melanda negara tersebut dalam tempoh beberapa dekad.
Gempa itu melanda kawasan pergunungan dan terpencil di bahagian timur negara sekitar tengah malam Ahad lalu, meratakan keseluruhan kampung sehingga penduduk terperangkap di bawah runtuhan.
Kebanyakan korban dilaporkan di wilayah Kunar, di mana banyak rumah dibina daripada kayu dan batu bata lumpur, menjadikannya sangat terdedah kepada gegaran bumi.
Pasukan penyelamat berjaya sampai ke kampung-kampung yang sebelum ini terputus hubungan akibat bencana itu dan mayat terus ditemui serta dikeluarkan dari timbunan runtuhan semalam.
Kira-kira 98 peratus bangunan di Kunar rosak atau musnah, menurut penilaian badan amal Islamic Relief. – AGENSI