KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mendapat suntikan moral selepas dilantik sebagai Duta Kesihatan dan Kesejahteraan daripada syarikat insurans, AIA.
Pelantikan itu adalah selari dengan objektif serta komitmen AIA dalam mengajak rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan lebih seimbang.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Ben Ng menyuarakan keyakinan bahawa perubahan positif boleh dicapai menerusi penglibatan dalam sukan.
“Di AIA, kami percaya akan kuasa sukan dalam mencetuskan perubahan positif. Ia membina daya tahan, fokus dan keseimbangan.
“Sze Fei-Izzuddin mencerminkan nilai-nilai ini melalui dedikasi dan pencapaian mereka. Kami mengalu-alukan mereka ke dalam keluarga AIA,” katanya menerusi satu kenyataan.
Gandingan yang terkenal dengan julukan DinFei itu turut menganggap sukan bukan sekadar kekuatan fizikal dan kemahiran tetapi lebih kepada gaya hidup.
“Kejayaan dalam sukan bukan sekadar kekuatan fizikal dan kemahiran. Kami telah merasai sendiri bagaimana sukan membentuk peribadi dan membina kekuatan mental.
“Kami berbesar hati menyertai AIA Malaysia sebagai Duta Kesihatan dan Kesejahteraan. Kami harap dapat berkongsi perjalanan kami bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia,” ujar mereka.
Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin bukanlah nama asing dalam arena badminton dunia apabila pernah meraih pelbagai kejuaraan termasuk Terbuka China dan Terbuka Jepun. – KOSMO! ONLINE