SHAH ALAM – Remaja lelaki warga Britain, David Balisong, 17, yang ditemui semula di sebuah premis penginapan di Kuala Lumpur didapati tidak mempunyai kenalan tempatan sepanjang berada di negara ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal turut mendapati remaja itu tiba di Malaysia secara bersendirian dan menetap di beberapa lokasi sekitar ibu kota.
“Dia bergantung sepenuhnya dengan wang yang dibawa dari negara asal. Penemuan itu membolehkan siasatan lanjut dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa,” katanya malam ini.
“Orang ramai diseru supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan maruah atau kerahsiaan remaja berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan David dijumpai oleh sepasukan polis di sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini kira-kira pukul 7 malam semalam hasil maklumat daripada aktivis Uncle Kentang.
Remaja itu dipercayai menyewa bilik bersama empat pengembara sejak 14 Julai lalu selepas dilaporkan meninggalkan rumahnya di Britain berpunca daripada perselisihan faham dengan keluarga. – KOSMO! ONLINE