KUALA LUMPUR – Ibu kepada remaja Britain yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu meminta diberikan ruang agar dirinya dapat menyelesaikan urusan untuk pulang ke negara mereka.
Minerva Balisong, 50, bagaimanapun tidak memperincikan bilakah dia dan anaknya, David Balisong, 17, akan pulang ke United Kingdom (UK) kerana masih menunggu keputusan kedutaan.
“Buat masa sekarang saya mohon pihak media berikan masa kepada kami sebab masih lagi sedang menguruskan pelbagai dokumen untuk pulang ke UK. Kami akan pulang ke rumah secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Terdahulu, David ditemui polis di Jalan Pudu di sebuah hotel dalam keadaan selamat kira-kira pukul malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata berdasarkan rakaman percakapan awal, punca remaja tersebut meninggalkan rumah adalah kerana perselisihan faham dengan keluarga.
Ditanya kepada Minerva apakah salah faham yang terjadi sebelum anak sulungnya meninggalkan rumah, wanita itu enggan memberikan komen lanjut.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.
Remaja itu sempat membuat pesanan melalui e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.
Antara kandungan e-mel tersebut adalah luahan Balisong supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini. – KOSMO! ONLINE