SERI PETALING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada istilah ‘tersepit’ dalam rundingan membabitkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut beliau, rundingan berkenaan akan terus dijalankan secara baik demi mencari titik penyelesaian terbaik buat semua pihak.
“Ya, Datuk Seri Zahid maklumkan kepada saya bahawa dalam perundingan itu nampak buntu. Kita doakan mudah-mudahan ada bentuk kesepakatan. Tapi kita tetap hormati keputusan BN.
“PH akan terus juga berbincang dengan BN dan juga dengan GRS,” katanya ketika ditemui selepas Program Temu Mesra Madani Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Menyantuni Masyarakat di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, hari ini.
Anwar pada masa sama menolak tanggapan bahawa PH berada dalam keadaan serba salah untuk memilih antara BN atau GRS.
“Kita akan terus berunding. Apa-apa pun, rundingan itu perlu dijalankan dengan baik dan kita cari penyelesaian yang terbaik,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE.