NEW YORK – Dendam Amanda Anisimova terhadap Iga Swiatek akhirnya terbalas apabila pemain pilihan kelapan tersebut melakar kejutan dengan menyingkirkan pemain No. 2 dunia itu untuk mara ke pentas separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat.
Anisimova yang pernah dimalukan dengan kekalahan teruk 0-6, 0-6 ketika Swiatek merangkul gelaran Wimbledon pertamanya pada Julai lalu, bangkit daripada episod duka itu untuk mencatat kemenangan bergaya 6-4, 6-3 di Stadium Arthur Ashe.
Swiatek yang turun sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan selepas kejayaan di Wimbledon disusuli dengan kemenangan di Terbuka Cincinnati bulan lalu dilihat gagal untuk bangkit untuk mengheret perlawanan tersebut ke set ketiga.
“Untuk bangkit semula selepas Wimbledon adalah sesuatu yang sangat istimewa bagi saya. Saya bekerja keras untuk menebus kekalahan itu dan saya tahu saya perlu berjuang sepenuhnya.
“Secara keseluruhan, perlawanan hari ini sangat sukar dan aksi hari ini adalah
‘pertempuran’ sebenar bagi saya,” tambah pemain Amerika Syarikat tersebut sejurus tamat perlawanan pagi semalam.
Sementara itu, Swiatek mengakui kekalahannya berpunca daripada masalah pada pukulan servisnya yang mudah diambil Anisimova .
“Saya tidak boleh menang perlawanan hari ini dengan cara permainan dan servis begitu, apatah lagi dengan Amanda yang begitu agresif ketika menyambut pukulan saya.
“Prestasi Anisimova berbeza berbanding pertemuan saya dengannya sebelum ini. Dia bergerak lebih baik, bermain lebih baik. Semuanya berbeza,” ujar Swiatek.
Hasil keputusan tersebut, Anisimova akan menentang juara dua kali Terbuka AS, Naomi Osaka selepas bintang Jepun itu menyingkirkan Karolína Muchova menerusi kemenangan straight set 6-4, 7-6. – AGENSI