TUARAN – Lima penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu maut apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah treler di Simpang Pusat Latihan Rela, Jalan Sulaman, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Harianto Anuar, 20, Neil Stanly Pletinie, 20, Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20, Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20, dan seorang lagi lelaki dewasa yang belum dikenal pasti identitinya.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kenderaan pelbagai guna Toyota Wish dinaiki kelima-lima mangsa dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Kota Belud.
Kenderaan dinaiki mangsa dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah treler muatan batu kerikil.
Akibat kejadian itu, semua mangsa yang menaiki Toyota Wish tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Mayat semua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE