BANDAR RAYA NEW YORK – Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan bahawa berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia diramal tercicir daripada persekolahan menjelang akhir tahun 2026 ekoran jangkaan penurunan dalam bantuan antarabangsa untuk pendidikan.
Bantuan pembangunan rasmi yang diperuntukkan untuk pendidikan dijangka turun 24 peratus menjelang tahun depan berbanding 2023, atau sebanyak AS$3.2 bilion (RM13.5 bilion), kata agensi PBB itu.
Ia berkata, 80 peratus daripada penurunan itu dikaitkan dengan tiga negara penderma iaitu Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis.
Jika pemotongan itu menjadi kenyataan, UNICEF menganggarkan bahawa kira-kira enam juta lagi kanak-kanak tercicir daripada persekolahan menjelang akhir tahun depan. Ia merupakan peningkatan jumlah keseluruhan daripada 272 juta kepada 278 juta orang.
“Angka itu bersamaan dengan mengosongkan setiap sekolah rendah di Jerman dan Itali kemudian digabungkan,” kata agensi tersebut.
Tambah UNICEF, ia amat bimbang tentang negara atau tempat yang menderita akibat krisis kemanusiaan seperti Haiti, Somalia atau di wilayah Palestin.
Ia juga memberi amaran tentang kesan pemotongan bantuan pendidikan ke atas kanak-kanak perempuan, dengan pengurangan dijangka melibatkan subsidi tuisyen dan wang untuk membina tandas berasingan untuk mereka.
UNICEF berkata, secara geografi, Afrika barat dan tengah akan menjadi yang paling teruk terjejas di mana 1.9 juta kanak-kanak berisiko tidak bersekolah.
Selain mereka yang tidak bersekolah sepenuhnya, 290 juta kanak-kanak dijangka menerima kualiti pendidikan yang semakin teruk, tambah UNICEF. – AFP