fbpx
Pegawai APMM sedang memeriksa platform terapung milik seorang pempengaruh yang disita di Markas Maritim Terengganu, Kuala Terengganu hari ini.

[VIDEO] ‘YouTuber’ bina rumah terapung 2 tingkat disita di Pulau Bidong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Hasrat seorang pempengaruh untuk mempamerkan binaan platform dua tingkat lengkap dengan set bilik tidur dan sebuah kereta mewah yang dibinanya tidak kesampaian apabila diserbu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Bidong, di sini, semalam.

Serbuan pukul 6 petang itu menyita platform terapung yang ditunda sebuah bot terbabit pada kedudukan kira-kira 29.63 kilometer dari barat laut perairan Kuala Terengganu dekat sini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi sama turun menahan enam individu berusia dalam lingkungan 21 hingga 32 tahun termasuk pempengaruh lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati platform terapung yang mempunyai sebuah kereta di atasnya telah ditunda oleh sebuah bot penumpang manakala sebuah bot lain mengiringinya.

“Ia telah dijadikan lokasi penggambaran oleh pempengaruh media sosial terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hamiludin berkata, pemeriksaan awal mendapati binaan platform tersebut dibina tanpa peralatan keselamatan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Beliau berkata, operasi menunda platform terapung terbabit juga didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut.

“Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah membahayakan nyawa kru, penumpang serta pengguna perairan lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI