BALIK PULAU – Seorang wanita dengan kostum anime menyerupai karakter ‘Korumi Tokisaki’ ditemukan maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkap sebuah kondominium di Bayan Lepas di sini, malam tadi.
Mayat mangsa yang berambut perang seakan warna merah jambu itu dijumpai orang awam di petak parkir kereta, aras bawah perumahan terbabit, kira-kira pukul 9.20 malam.
Difahamkan, kejadian disedari penduduk selepas terdengar dentuman kuat dari lokasi kejadian, berhadapan sebuah tadika.
“Kami sangka berlaku kejadian gempa bumi tetapi gegaran itu berlaku hanya sekali.
“Bunyi kuat seperti 10 tong gas jatuh dari tempat tinggi. Awalnya, saya dengar ada orang awam jerit. Saya terus ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah terbaring dalam keadaan sudah tidak sempurna,” dakwa salah seorang penghuni yang tinggal di lokasi berhampiran.
Dalam pada itu, dakwa penduduk lagi, mangsa juga seringkali dilihat mengenakan cosplay anime yang lengkap sambil membawa anak patung dan duduk di batu berhampiran lobi lif.
Malah, mereka turut mendakwa kali terakhir melihat mangsa dengan seorang wanita dipercayai ibunya petang semalam.
“Ibu mangsa juga dilihat mengenakan kostum anime sama cuma watak yang berbeza. Mereka memang tinggal di sini tapi kami tidak pasti tingkat berapa (lokasi kediaman) mereka,” ujarnya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, kira-kira pukul 12.30 malam tadi. -KOSMO! ONLINE