LISBON – Sebuah tram popular di Lisbon tergelincir dari landasan semalam dan merempuh bangunan, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, manakala 18 yang lain cedera.
“Tragedi yang belum pernah berlaku di bandar kita,” kata Datuk Bandar Lisbon, Carlos Moedas berhubung kemalangan itu yang melibatkan tram kuning Gloria.
Pegawai perkhidmatan kecemasan, Tiago Augusto berkata, semua mangsa dialih keluar daripada bangkai tram sambil menambah, mereka termasuk rakyat asing.
Pasukan penyelamat mengesahkan angka korban 15 orang dan 18 cedera tetapi maklumat identiti mereka belum diketahui.
Pihak berkuasa mengisytiharkan hari ini hari berkabung negara.
Nahas berlaku pukul 6.15 petang (waktu tempatan) di landasan curang berdekatan Liberty Avenue.
Saluran televisyen tempatan SIC memetik seorang saksi sebagai berkata, tram boleh membawa 40 orang itu melanggar bangunan semasa bergerak laju menuruni jalan curam pada ‘kelajuan maksimum’.
“Ia melanggar sebuah bangunan dengan sangat kuat dan remuk seperti kotak kadbod. Kenderaan itu tiada brek,” kata seorang wanita.
Pengendali pengangkutan awam Lisbon menyatakan, pihaknya mematuhi semua protokol penyelenggaraan.
Penyelenggaraan menyeluruh dilakukan setiap empat tahun dan kali terakhir dilaksanakan pada 2022.
Penyelenggaraan berkala pula dilakukan setiap dua tahun dan diselesaikan dalam tahun 2024. – AGENSI