KUALA LUMPUR – Pelakon Sophia Albarakbah mengakui masih trauma untuk membuka sebarang mesej peribadi dalam Instagram miliknya selepas menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
Ujar Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, pengalaman pahit itu meninggalkan luka besar hingga membuatkan dirinya takut untuk mengetahui isi setiap mesej dan menyerahkan sepenuhnya kepada peguam bagi meneliti dan mengambil tindakan lanjut.
“Apabila bercakap soal ini, sejujurnya selepas semua ini berlaku, saya terlalu trauma untuk buka DM (Direct Message) dalam Instagram.
“Sama ada mesej baik atau tidak, Apa sahaja mesej mencurigakan saya serahkan kepada peguam untuk diperiksa.
“Senang biar pihak berkuasa terus yang urus dan selesaikan,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Abu Si Raksasa di sini, semalam
Tambah pelakon drama From Saga With Love 2 itu, jumlah mesej diterima terlalu banyak sehingga dirinya langsung tidak tahu sekiranya ada antara pengirim cuba memohon maaf.
Pun begitu, dia tetap berlapang dada dan berharap individu terbabit benar-benar insaf.
“Terlalu banyak mesej sampai saya sendiri takut untuk baca. Tapi kalau tanya sama ada sudah ada yang meminta maaf, mungkin ada yang sudah minta maaf, tetapi saya tidak pernah buka.
“Kalau betul ada yang menyesal, itu sesuatu yang baik. Kita semua manusia, pasti pernah buat salah. Saya juga tidak sempurna, buat salah juga.
“Kepada mereka yang sudah memohon maaf, saya ucapkan terima kasih dan harap teruskan berbuat baik,” ujarnya penuh makna.
Mengulas mengenai tindakan undang-undang yang diambil, Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP) itu menegaskan langkah itu bukan sekadar untuk kepentingan diri, sebaliknya sebagai peringatan kepada masyarakat agar lebih menggunakan media sosial dengan hemah, cakna dan tidak terlalu mudah menghambur caci maki kepada orang lain.
“Bagi saya, tindakan undang-undang ini penting supaya orang sedar komen jelik bukan perkara main-main.
“Mungkin sebelum ini ada yang rasa negara kita tiada peraturan, lalu sesuka hati mahu memfitnah atau menghina orang lain.
“Diharap dengan tindakan saya ini, ramai yang akan lebih berhati-hati dan manfaatnya dapat dirasai semua pihak,” jelasnya.
Terdahulu pada 9 Ogos lalu, Sophia tampil membuat laporan di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur selepas menerima mesej melampau dalam Instagram.
Bukan sekadar hinaan, malah terdapat kiriman bersifat tidak senonoh yang jelas berbentuk gangguan seksual sehingga membuatkannya trauma. – KOSMO! ONLINE.