KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pasangan suami isteri untuk menurunkan semua hantaran dalam media sosial iaitu Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadap pelakon Fattah Amin berhubung penceraiannya.
Pasangan suami isteri itu selaku defendan ialah Nuraien Adilla Hasha Akhbar dan suaminya Mohd. Hafizzuddin Hamri yang kedua-duanya berusia 29 tahun.
Peguam Mohd. Faiz Iskandar Hamzah yang mewakili Fattah berkata Hakim Datuk Anand Ponnudurai membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim (sementara) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 36.
“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi ex-parte yang difailkan oleh plaintif (Fattah) terhadap defendan-defendan. Mahkamah telah membenarkan permohonan ex-parte plaitif dan telah memberikan perintah ad-interim untuk defendan-defendan menurunkan semua posting (hantaran) berkenaan,” kata peguam itu ketika ditemui selepas prosiding dalam kamar hari ini.
Pada masa sama, peguam itu turut memaklumkan defendan-defendan juga diperintah, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya dihalang untuk menerbitkan apa-apa kenyataan berkenaan dengan plaintif khususnya dakwaan kononnya plaintif telah berlaku curang.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 September ini bagi tarikh pengurusan kes seterusnya.
Terdahulu Fattah memfailkan saman itu pada 26 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Nuraien Adilla dan Mohd. Hafizzuddin masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan saman yang difailkan pada 26 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Nuraien Adilla yang merupakan pempengaruh media sosial dan suaminya Mohd. Hafizzuddin masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Fattah mendakwa kedua-dua defendan telah menerbitkan kenyataan fitnah di dalam akaun Threads masing-masing pada 29 Julai 2025 dan 22 Ogos 2025.
Dakwa Fattah, kenyataan fitnah yang dibuat Nuraien Adilla telah diterbitkan, ditonton, dikongsi dan disebarkan dengan meluas kepada pihak ketiga di beberapa portal hiburan yang mana ia mengundang pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat awam terhadap plaintif.
“Defendan-defendan secara bersama menerbitkan kenyataan fitnah tanpa mendapatkan pengesahan daripada saya. Mereka berbuat demikian dengan tujuan utama untuk mencemar nama baik, menjatuhkan reputasi, memalukan saya di mata masyarakat umum serta dalam bidang profesional saya.
“Akibat daripada tindakan mereka, saya telah mengalami gangguan emosi, penghinaan serta pengaiban secara umum (public humiliation) selain ia telah mencemarkan nama baik saya. Keseluruhan tindakan defendan -defendan itu adalah bersifat terancang, disengajakan, dan bersepakat sebagai sebahagian daripada suatu konspirasi,” kata pernyataan itu.
Justeru Fattah memohon suatu injunksi untuk menghalang defendan-defendan atau ejennya mengeluarkan, menerbit atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.
Plaintif juga memohon kedua-dua defendan membuat kenyataan maaf tidak bersyarat secara bertulis atas terma-terma yang dipersetujui oleh plaintif di akaun Threads defendan dan mana-mana akaun media sosial di kawalan mereka, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM5 juta.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Fattah bersama pasukan pengurusannya kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkaitan dengan isu curang kononnya ada ‘orang ketiga’ punca perceraian. – KOSMO! ONLINE