fbpx
Mohamed Khaled beramah mesra bersama pegawai kadet Palapes pada program Syarahan Eksekutif Bersama Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam di Universiti Putra Malaysia hari ini.

Silibus dan kurikulum Palapes akan ditambah baik – Mohamed Khaled

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Kementerian Pertahanan akan melaksanakan rombakan dan penambahbaikan terhadap beberapa kurikulum dan pengisian melibatkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di seluruh Universiti Awam.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan penyertaan mahasiswa dalam program latihan di universiti tidak menjadi sia-sia.

Ini kerana katanya, ia juga menjadi punca kadar penyertaan mahasiswa dalam Palapes ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang rendah ketika ini.

“Sekarang ini kita dah kenal pasti beberapa silibus yang perlu dirombak dan akan dilaksanakan supaya ia berguna pada masa akan datang.

“Kita mahu lebih ramai menjadi anggota simpanan (ATM). Kita juga nak lihat mengapa (tak ramai yang tamat pengajian berminat sertai ATM), jadi kita akan lakukan tambah baik untuk bangunkan minat mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Syarahan Eksekutif Bersama Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penambahbaikan itu juga bertujuan menarik minat lebih ramai mahasiswa untuk menyertai Palapes dan seterusnya menjadi anggota tetap mahupun simpanan ATM.

Katanya, ketika ini, sejumlah 121,000 anggota tetap ATM di seluruh negara dengan hanya 34,000 anggota simpanan.

Sedangkan, katanya, sasaran ditetapkan negara bagi nisbah anggota tetap ATM dengan anggota simpanan adalah 1:1.

“Kita akan usahakan untuk capai (sasaran ini), kerana itu kita beri perhatian antaranya dalam soal pengisian (silibus), bagaimana nak bangunkan minat mereka dan seterusnya apabila (tamat pengajian), mereka mahu sertai ATM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI