LONDON – Pemain ‘buangan’ Manchester United, Jadon Sancho terus terpalit isu biarpun berjaya melengkapkan perpindahan secara percuma dengan menyertai Aston Villa pada hari terakhir jendela perpindahan kelmarin.
Dia dikatakan menjadi punca kegagalan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez untuk berhijrah ke Old Trafford biarpun sangat hampir untuk memeterai perjanjian bersama pasukan itu selepas bersetuju dengan semua terma peribadi.
Pakar perpindahan pemain, Fabrizio Romano mendedahkan bahawa keengganan Sancho untuk menyertai Villa secara perpindahan tetap menyebabkan United terpaksa melupakan hasrat mereka mendapatkan Martinez dan membuat keputusan menandatangani Senne Lammens dari Royal Antwerp.
“Manchester United tampil dengan idea untuk melakukan pertukaran pemain melibatkan Sancho ke Villa Park dan Martinez ke Old Trafford tanpa melibatkan sebarang urusan pembayaran.
“United meletakkan harga perpindahan Sancho pada nilai £25 juta (RM141.92 juta) dan menilai Martinez juga pada harga yang sama menyebabkan ia hanya melibatkan pertukaran pemain sahaja dalam urusan berkenaan.
“Bagaimanapun, Sancho tidak menerima tawaran untuk berhijrah secara kekal ke Villa Park menyebabkan rundingan tersebut terpaksa dihentikan,” katanya.
Situasi itu menimbulkan kekecewaan buat Martinez yang benar-benar mahu menyertai United dan situasi itu menyebabkan Sancho seakan mencipta ‘musuh’ seawal hari pertamanya di Villa Park. – AGENSI