LANGKAWI – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin bagi memastikan ia memberi situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu hendaklah dikendalikan dengan betul dan secara tidak terburu-buru.
“Saya rasa ini adalah sebahagian daripada maklum balas yang UMNO terima daripada ahli terutama orang Melayu, jadi dia nak minta kalau boleh akta ini diteliti semula.
“Sebab kita kena terima hakikat dalam aspek pembangunan negara apabila kita sudah 68 tahun merdeka,” katanya ketika ditemui pada hari terakhir Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18), di sini hari ini.
Terdahulu, Johari dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung September ini.
Katanya lagi, RUU itu mungkin tidak menimbulkan masalah di negeri-negeri lain yang masih memiliki banyak tanah untuk pembangunan, namun dalam konteks Kuala Lumpur ia amat terhad.
Menurutnya, beliau dimaklumkan terdapat 139 kawasan di Kuala Lumpur yang berpotensi untuk dibangunkan semula termasuk flat-flat lama.
“Jadi bila buat akta ini, ia tidak khusus kepada Kuala Lumpur, tetapi kepada seluruh negara.
“Kalau kita pergi kepada seluruh negara, Kuala Lumpur agak berbeza sedikit sebab Selangor, negeri-negeri lain di seluruh negara kecuali Kuala Lumpur ada banyak tanah lagi, ada hutan, Kuala Lumpur tidak ada,” ujarnya.
Selain itu, katanya, RUU berkenaan juga tidak sepatutnya menindas mana-mana pihak tertentu terutama rakyat.
“Saya sendiri telah beritahu kepada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) bahawa kita kena tengok gambaran yang lebih besar bagaimana kita nak buat ini.
“Sebab kawasan-kawasan ini, bila kita nak bangunkan, kita perlu memindahkan orang. Jadi, kalau kita nak pindahkan, pindah ke mana? Itu satu isu yang kita nak tengok,” katanya.
Jelasnya, aspek pemindahan penduduk ke lokasi bersesuaian sangat penting dan tidak boleh diambil ringan.
“Pemaju tak boleh ambil mudah sebab pengalaman di Kuala Lumpur ini mereka dah tengok dulu semasa kita bangunkan semula Flat Tun Razak yang akhirnya orang dipindahkan di Desa Rejang.
“Sebahagian mereka juga dipindah ke flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka patutnya dapat balik unit di Tun Razak kerana itu kepunyaan mereka. Tapi hari ini sudah lebih 15 tahun tak dapat semula, jadi orang takut.
“Peristiwa sama di Sungai Baru, sudah lapan tahun pindahkan penduduk tapi tak boleh buat kerana tiada pihak yang benar-benar memantau pelaksanaan maka apa yang berlaku akhirnya rakyat juga sengsara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE