GERIK – Sebanyak 79 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi seberat 12 kilogram (kg) dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari sebuah rumah terapung di Tasik Banding di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan Ops Gasak 2025 terhadap rumah terapung itu dilakukan pada pukul 1.30 petang oleh pegawai dan penguat kuasa KPDN Cawangan Gerik.
Katanya, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi di lokasi terbabit.
“Hasil serbuan telah berjaya menjumpai 79 tong LPG bersubsidi 12kg yang digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan pemanasan air bagi perawatan ikan.
“Sehubungan itu, pasukan pegawai penguat kuasa KPDN telah mengambil tindakan menyita sejumlah 79 tong LPG bersubsidi dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan RM7,460,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, pemilik rumah terapung disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.
“Pembekal LPG yang terlibat juga akan disiasat kerana disyaki melanggar Peraturan 9(2) (PPKB) 1974 kerana menjual barang kawalan berjadual kepada pihak yang tidak dibenarkan dan oleh itu menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE