SERDANG – Punca kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palepas), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin akan didedahkan selepas
keputusan hasil bedah siasat dipeolehi.
Memaklumkan perkara itu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat kedua itu.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati tiada elemen penderaan atau sentuhan yang membawa kepada kematian kadet Palapes itu.
“Tiada sentuhan fizikal, dia tidak tidur di situ (di kem tentera semasa latihan diadakan). Dia ulang alik dari rumah. Kedua, pada hari berikutnya jenazah sudah tiada dan telah dibawa (ke hospital).
“Kalau pun ada siasatan, bukan tentu (pihak (ATM) nak buka (bedah siasat) badan arwah untuk nak tengok apa sebab dia meninggal. Biarlah kita lihat post mortem (bedah siasat) kedua, apa dia punya itu (punca),”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Syarahan Eksekutif Bersama Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, latihan itu juga diadakan di khalayak ramai dam pelatih itu juga meninggal di kawasan tersebut.
“Jadi kalau katalah berlaku (penderaan), ada kekasaran yang luar biasa ke apa, tentu pelajar-pelajar (lain) akan ambil gambar.
“Jadi, saya percaya apabila keputusan hasil siasatan atau ‘post-mortem’ kedua itu akan beritahu apa kunci (punca kematian pelatih itu) akan tunjukkan bahawa tidak ada kaitan langsung dalam soal program latihan Palapes ini,”ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, jenazah Syamsul Haris telah menjalani proses bedah siasat kedua pada 30 Ogos lalu di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.
Bedah siasat kali kedua itu dilakukan susulan permintaan keluarga bagi mendapatkan kepastian berhubung punca kematian mangsa.
Berdasarkan pendedahan oleh peguam yang mewakili keluarga arwah pelatih itu, Datuk Naran Singh, bedah siasat itu telah menemui beberapa kecederaan yang mencurigakan pada badan mangsa.
Sebelum ini, Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.
Jenazah pelatih itu kemudianmnya dikebumikan keesokkan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu. – KOSMO! ONLINE