GEORGE TOWN – Seorang pesara bekas jurulatih sukan kerugian lebih RM838,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 75 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dengan alasan kononnya nama mangsa telah disenarai hitam dan dikaitkan dengan kegiatan penyebaran maklumat palsu.
Menurutnya, meskipun mangsa menafikan tuduhan tersebut, suspek tetap mendesaknya membuat laporan dalam talian sebelum menyemak butiran peribadi yang diberikan.
”Suspek kemudian mendakwa kononnya mangsa terbabit pula dengan kes pengubahan wang haram.
”Suspek meminta semua maklumat akaun bank simpanan milik mangsa selain mengarahkan dia memindahkan wang daripada akaun simpanan tetap ke dalam akaun bank atas nama mangsa sendiri. Mangsa akur kerana percaya ia sebahagian prosedur siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pada 11 Ogos lalu, mangsa diarahkan menyerahkan semua kad mesin juruwang automatik (ATM) bersama kata laluan atas alasan untuk tujuan siasatan Bank Negara Malaysia.
”Kad tersebut dimasukkan ke dalam sampul surat dan ditinggalkan berhampiran pos pengawal kawasan perumahannya.
”Mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan di bank dan mendapati semua wang di dalam akaunnya berjumlah RM838,328 telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga yang tidak diketahui,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE