fbpx
Gambar hiasan.

Penerbangan udara hampir pulih, menyamai tahap pra-pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan sektor penerbangan negara berada di landasan pemulihan penuh, apabila trafik penumpang bulanan mencecah 9.3 juta orang pada Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, angka itu menunjukkan peningkatan 3.9 peratus berbanding Jun dan 5.3 peratus berbanding Julai 2024, iaitu 96.8 peratus daripada tahap pra-pandemik pada Julai 2019.

Katanya, industri penerbangan negara kini jelas berada di landasan pemulihan penuh dengan didorong permintaan antarabangsa yang kukuh, jaringan penerbangan strategik serta inisiatif kerajaan yang memudahkan perjalanan.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, jumlah keseluruhan penumpang ialah 61.2 juta, menghampiri unjuran 105.8 hingga 112.9 juta penumpang bagi tahun penuh.

“Trafik penumpang antarabangsa terus mengatasi permintaan domestik, dengan 4.7 juta penumpang pada Julai, hampir menyamai tahap 2019 (98.7 peratus).

“Pertumbuhan itu dipacu pertambahan kapasiti tempat duduk, pelaksanaan visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India serta laluan penerbangan baharu seperti Kota Kinabalu–Daegu, Subang–Bangkok dan Kuala Lumpur–Palembang,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Bagi edaran mengikut rantau, laluan Malaysia–ASEAN mencatatkan 2.2 juta penumpang, manakala bukan ASEAN meningkat ketara kepada 2.5 juta penumpang.

“Trafik domestik menurun sedikit 1.3 peratus MoM kerana cuti sekolah dan cuti umum pada Jun, namun masih mencatatkan 4.6 juta penumpang (+7.4% YoY) iaitu 94.8 peratus tahap 2019.

“Bagi kargo udara pula, jumlah pergerakan naik 11.4 peratus MoM kepada 93.0 juta kg, namun turun 2.8 peratus YoY berbanding Julai 2024 akibat normalisasi pola penghantara,” katanya.

Sementara itu, bagi suku kedua 2025 pula, trafik penumpang udara negara terus menunjukkan perkembangan baik apabila mencatatkan 26.5 juta orang pada suku kedua 2025, meningkat 10.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia sekali gus mencapai 99.3 peratus daripada tahap pra-pandemik 2019.

“Daripada jumlah itu, penumpang antarabangsa berjumlah 12.9 juta orang, meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun (YoY) dan kini berada pada 98.9 peratus tahap 2019.

“Sementara itu, penumpang domestik merekodkan 13.7 juta orang, melonjak 14.7 peratus YoY, hampir menyamai sepenuhnya tahap 2019 dengan pencapaian 99.6 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN