TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan peniaga ayam proses di negeri ini menipu harga jualan bahan mentah itu berdasarkan pemakaian atau penampilan dan jenis kenderaan yang dinaiki pelanggan yang datang ke premis mereka.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kes itu turut melibatkan peniaga ayam proses di tepi jalan apabila mereka menetapkan harga lebih mahal berbanding tanda harga yang dipamerkan mengikut penampilan pelanggan.
Menurutnya, peniaga tersebut akan mengambil kesempatan berdasarkan pemakaian individu atau jenis kenderaan digunakan ketika datang membeli ayam proses.
“Selain peniaga ayam, peniaga barangan lain turut dikesan melakukan kesalahan yang sama. Kita dapati sebanyak 30 peratus kesalahan memanipulasi harga jualan dikesan sejak Januari hingga Ogos tahun ini dengan 455 kompaun berjumlah RM136,600 dikeluarkan.
“Kesalahan yang dikesan antaranya tiada tanda harga, gagal meletakkan tanda harga dan tidak menggunakan alat timbang sah termasui pelekat yang berniaga di pasar basah, tepi jalan dan pasar raya,” katanya pada sidang akhbar semrpena Pelancaran Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Sumayyah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, anggota penguat kuasa KPDN turut membuat penyamaran untuk membeli ayam atau barangan keperluan lain bagi memastikan pematuhan harga jualan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya membuat aduan segera bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan. – KOSMO! ONLINE