fbpx
Anwar (tujuh dari kiri) bergambar bersama pekerja kilang kenderaan elektrik (EV) Proton semasa Majlis peluncuran Kilang EV Proton di Proton City di Tanjung Malim hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

Pamer jenama Proton kepada pemimpin dunia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Kehadiran ramai pemimpin dunia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini membuka peluang kepada syarikat kereta nasional, Proton untuk mempopularkan jenama tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ramai pemimpin dunia akan hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) selain negara-negara kuasa besar ekonomi dunia.

“Saya telah minta pihak Proton untuk menyediakan satu ruang semasa sidang utama kita supaya dapat kita bawa pemimpin dan rombongan dari negara-negara ini melihat sendiri keupayaan, prestasi, teknologi Proton supaya kita boleh menembusi pasaran luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kilang kenderaan elektrik (EV) Proton di sini hari ini yang merupakan kilang EV pertama di Malaysia.

Kata Anwar, beberapa pemimpin yang akan hadir termasuklah pemimpin China, Jepun, Australia selain Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

“Mesyuarat tentang ASEAN, tetapi jaringan kita antarabangsa. Presiden Brazil iaitu dari sebuah negara ekonomi yang terbaik di Amerika Latin dan Presiden Afrika selatan. Kedua-dua mereka akan datang.

“Kita berusaha untuk menerobos ke pasaran di Afrika Selatan dan kita usulkan juga mungkin juga ke Brazil,” katanya.

Kata Anwar, sewaktu di Beijing baru-baru ini beliau bertemu dengan Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly yang menyatakan kebanggaan kerana prestasi Proton di negara tersebut sangat menggalakkan dan menjadi antara kenderaan popular serta mudah dimiliki oleh rakyatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI