fbpx
NOVA mengakui keputusan menggandingkan semula Tang Jie dan Ee Wei adalah percaturan yang berbaloi apabila mereka menjuarai Kejohanan Dunia.

Nova akui pernah hilang sabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI SEBALIK kejayaan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi juara dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis, ada kisah tersirat tidak ramai yang tahu.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui pernah hilang sabar melayan kerenah dua pemainnya itu ekoran pelbagai isu yang timbul setiap kali mereka menyertai kejohanan.

Beliau yang pernah menjadi juara dunia sebanyak dua kali bersama Liliyana Natsir pada edisi 2005 dan 2007 berkata, banyak dugaan terpaksa dihadapi, terutamanya melibatkan masalah komunikasi dan sikap.

“Sebagai seorang jurulatih, memang kita kena sabar sahaja. Bagaimanapun, sebenarnya saya pernah marah juga dan boleh dikatakan hampir setiap kejohanan ada sahaja masalah yang berlaku.

“Ini memang tugas kita untuk berikan semangat serta membimbing mereka. Mungkin itu yang membuatkan Tang Jie-Ee Wei bersyukur kerana saya tetap berikan sokongan walaupun ada masalah,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah baharu arena sukan negara selepas menjadi beregu campuran pertama Malaysia menjadi juara dunia selepas menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14.

Keputusan untuk kembali menggandingkan beregu tersebut merupakan satu pertaruhan yang berbaloi, terutamanya selepas mereka dipisahkan buat seketika Mac lalu susulan sudah tidak ada persefahaman.

“Ramai pasangan yang ada kemahiran tetapi kalau komunikasi dan karakter tidak selari, mereka tidak boleh jadi juara. Di Paris, mereka menunjukkan ketenangan, keyakinan serta komunikasi yang baik dan itu menjadi kunci kemenangan,” ujar Nova.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI