PETALING JAYA – Peminat tempatan berpeluang menyaksikan persembahan kumpulan K-pop NCT Dream menerusi konsert The Dream Show 4 Kuala Lumpur pada Disember tahun ini dengan pembelian tiket bertemakan Hari Malaysia.
Ia susulan penganjur Live Nation Malaysia mengambil maklum berhubung isu berkaitan peminat bukan warganegara yang memonopoli tiket konsert K-pop di Malaysia.
“Kuiz pengesahan pantas bertemakan Hari Malaysia dilakukan untuk memastikan pembelian tiket yang adil untuk semua orang.
“Soalan kuiz juga perlu dijawab dalam had masa yang ditetapkan, atau sekatan sementara dan pengisian semula perlu dilakukan,” kata penganjur.
Antara soalan yang disediakan termasuk tarikh Hari Malaysia, bahasa kebangsaan dan bunga kebangsaan serta beberapa pilihan jawapan diberikan.
Selain itu, peminat juga menghargai usaha penganjur dalam memastikan pembelian tiket yang tulus dan mengharapkan konsert K-pop lain juga mengambil situasi ini sebagai inisiatif kepada peminat tempatan yang kurang berkesempatan membeli tiket sebelum ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita dipercayai warga asing cuba membuka pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu lokasi penganjuran konsert bintang K-pop, G-Dragon.
Wanita tersebut dipercayai bertindak agresif selepas pihak pengurusan menyekatnya masuk ke dalam stadium kerana lewat. – KOSMO! ONLINE