KAJANG – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menghantar kakitangan untuk menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing yang menyerang seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Taman Megah, Batu 9, Cheras di sini.
MPKj dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan pada hari ini selain pihaknya telah melaksanakan kawalan dan tangkapan anjing berkeliaran di kawasan sekitar.
Ujarnya, anjing yang mencederakan kanak-kanak itu juga telah ditangkap oleh sepasukan Unit Tangkapan Anjing Terbiar MPKj semalam.
“Anjing tersebut dibawa ke pusat tahanan haiwan MPKj untuk di asingkan dan ditahan sehingga siasatan kes selesai.
“Pihak MPKj juga akan mendapatkan pandangan teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Hulu Langat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
MPKj turut menyeru agar pemilik anjing tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka ke luar premis tanpa pengawasan.
“Bagi pemilik yang tidak lagi berhasrat memelihara anjing mereka boleh menyerahkan haiwan tersebut kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Pemilik juga boleh menghubungi pihak MPKj sekiranya memerlukan maklumat lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikejarkan ke hospital setelah diserang dan digigit anjing ketika bermain di sebuah perumahan di Batu 9, Cheras, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan dari abang mangsa berusia 20 tahun pada pukul 11.41 malam.
Beliau berkata, ketika kejadian pada pukul 6.30 petang, kanak-kanak tersebut sedang bermain basikal di kawasan berhampiran.
“Secara tiba-tiba seekor anjing yang kebetulan berada di situ terus menyerang mangsa. Tindakan pantas beberapa orang jiran datang membantu berjaya menghalau anjing tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala dikejarkan ke hospital dan kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang serta berada dalam keadaan yang stabil. – KOSMO! ONLINE