SKUAD Harimau Malaya tekad memastikan benteng pertahanan terus kebal tanpa ‘dibocori’ menjelang aksi derbi seberang tambak menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kapten pasukan kebangsaan, Dion Cools menyeru agar semua pemain mengekalkan momentum cemerlang seperti yang dipamerkan sewaktu menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi kelayakan Piala Asia, Jun lepas.
Cools berkata, kekebalan di benteng pertahan bakal menjadi salah satu fokus utama yang harus diberi perhatian supaya tidak mudah dibolosi pasukan lawan.
“Sebagai pemain pertahanan, sudah tentu mentaliti kami adalah untuk memastikan gawang tidak dibolosi. Namun, semua pemain perlu bersatu hati dengan beraksi sepenuh jiwa di atas padang nanti.
“Kita perlu bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan misi untuk meneruskan momentum kemenangan dapat direalisasikan,” kata pemain Cerezo Osaka berusia 28 tahun itu.
Cools dijangka bakal menguatkan benteng pertahanan negara bersama-sama tonggak pertahanan kelab Alaves, Facundo Garces dan dua pemain berpengalaman JDT, Jon Irazabal dan La’vere Corbin-Ong pada aksi malam ini.
Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski enggan mengesahkan sama ada akan ‘simpan kuku’ atau menurunkan kesebelasan terbaik ketika bertemu seteru yang berada pada ranking ke-159 dunia itu.
Situasi ini kerana skuad negara akan menghadapi perlawanan persahabatan lebih sukar apabila dijadualkan bertemu Palestin yang berada di ranking ke-98 dunia di Stadium Sultan Ismail, Isnin depan.
Kata Cklamovski, tiada istilah kesebelasan utama terbaik atau simpanan kerana semua pemain telah memberikan komitmen penuh sepanjang kem Latihan pusat kali ini.
“Saya tidak pernah ada kesebelasan terbaik, sebaliknya saya percaya dengan kualiti semua pemain yang ada untuk menempuh dua perlawanan sukar kali ini.
“Sesiapa sahaja yang diturunkan pasti memberikan sepenuh tenaga dan faham dengan falsafah bola sepak yang cuba kita terapkan.
“Saya mahu mereka saling bekerjasama di atas padang untuk pastikan gawang tidak dibolosi dan mempamerkan aksi berkualiti untuk menjaringkan gol,” katanya.
Kedua-dua perlawanan persahabatan kali ini dianggap sebagai ‘simulasi’ terbaik buat skuad negara bagi mengharungi dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Oktober depan.