PUTRAJAYA – Sebanyak RM117.1 juta nilai jualan direkodkan pada hari keempat pelaksanaan bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) semalam melibatkan seramai 1.8 juta penerima.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, jumlah tersebut lebih tinggi berbanding 1.1 juta penerima melakukan transaksi berjumlah RM76.8 juta pada hari sebelumnya.
“Kadar transaksi berjaya juga meningkat kepada 99.7 berbanding 95 peratus pada Selasa lalu.
“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tiga hari lalu telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai hari ini,” katanya hari ini.
Secara keseluruhan sejak pelaksanaan Penghargaan Sara pada 31 Ogos lalu, lebih 4.8 juta rakyat membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sara dengan jumlah mencecah RM312.6 juta di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE