fbpx
Ibu Allahyarham, Azwati@Azziaton Muhammed Ghalip (tengah) ketika berbincang bersama pasukan peguamnya sebelum prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini-Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

Keputusan gali semula kubur pelatih Palapes UiTM 20 November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pendengaran keputusan menggali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi.

Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar permohonan daripada pihak pemohon dan responden. Bapa Allahyarham, Muhammad Zaidi Abdul Rahman selaku pemohon diwakili Peguam Tun Laila Tun Rafaee.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Azroul Hisham Azulan mewakili responden pertama, Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kamilzah Salleh mewakili Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar sebagai responden kedua.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober ini untuk kedua-dua responden memfailkan afidavit balasan dan 24 Oktober untuk pemohon memfailkan afidavit balasan serta 7 November bagi pemohon dan responden memfailkan hujahan bertulis.

Pada prosiding itu, Tun Laila memohon mahkamah mengeluarkan lima perintah, iaitu kubur Allahyarham digali semula, sepasukan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur menjalankan bedah siasat ke atas tubuh Allahyarham dan pasukan forensik perlu mengeluarkan laporan bedah siasat selewat-lewatnya dua minggu selepas bedah siasat dijalankan.

“Kami mohon mahkamah memerintahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas mengambil alih tugas siasatan dan satu inkues dijalankan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham,” katanya ketika pengurusan kes hari ini.

Bagaimanapun, Kamilzah memohon agar diberikan tempoh empat minggu kepada pihaknya untuk memfailkan afidavit bertulis.

Kosmo! pada 3 Januari lalu melaporkan polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian Muhammad Amir Rusyaidi ketika menjalani latihan pada November lalu, namun 21 Ogos lalu, keluarga Allahyarham mendesak siasatan terperinci apabila kematiannya disifatkan amat meragukan.

Ini selepas tiada bedah siasat dijalankan dengan diagnosis kematian terbaharu daripada Hospital Shah Alam pada Februari lalu mendapati kematian lelaki itu berpunca daripada latihan intensif fizikal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN