NEW DELHI – Seorang jurutera perisian di India ditemukan meninggal dunia selepas dipatuk ular berbisa yang bersembunyi di dalam kasut getah miliknya, lapor akhbar The Independent semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan) di Bengaluru, negeri Karnataka, Sabtu lalu.
Manju Prakash, 41, dilaporkan membeli jus tebu buat ibunya sebelum menyarung kasut untuk pulang berehat di rumah.
“Selepas sejam kemudian, ahli keluarga Manju mendapati mangsa tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih serta terdapat kesan gigitan di bahagian kaki.
“Seorang pekerja yang melawat rumah mangsa ternampak seekor ular di luar kasutnya. Setelah diperiksa, ular Russell’s Viper itu sudah mati,” kata abang mangsa.
Ahli keluarga berkata, Manju tidak menyedari gigitan tersebut selepas kakinya mengalami kerosakan saraf akibat kemalangan.
Mangsa dibawa ke hospital berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. – AGENSI