JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia berjaya mengesan bangkai helikopter yang hilang secara tiba-tiba di Pulau Borneo dan menemukan mayat salah seorang mangsa, kata pegawai hari ini.
Helikopter yang membawa dua kru dan enam penumpang itu terputus komunikasi sejurus berlepas dari wilayah Kalimantan Selatan, Isnin lalu.
“Pasukan penyelamat di darat berjaya menemukan serpihan helikopter. Mereka turut menemukan mayat seorang mangsa kira-kira 100 meter dari helikopter tersebut.
“Berdasarkan pemerhatian awal, terdapat beberapa lagi mangsa di dalam helikopter tetapi kami tidak dapat mengesahkan jumlahnya berikutan keadaan cuaca,” kata Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Yudhi Bramantyo semalam.
Helikopter itu hangus dijilat api sekali gus memaksa pasukan penyelamat memotongnya demi mengeluarkan mangsa yang lain. – AFP