PETALING JAYA – Pasar raya besar Giant mengambil tindakan segera menurunkan harga beras susulan isu tular di media sosial yang mendakwa berlaku kenaikan harga barangan itu yang dianggap melampau.
Giant Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook mengakui berlaku kekeliruan dan kekecewaan berikutan kegagalan menyampaikan maklumat promosi daripada pembekal kepada pasukan dalaman mereka.
“Ini merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan dan menyebabkan harga jualan kami lebih tinggi daripada harga promosi pasaran,” katanya hari ini.
Pihak pasar raya itu memohon maaf kepada pelanggan dan mengucapkan terima kasih atas maklum balas orang ramai yang membantu membawa perkara tersebut ke perhatian mereka.
Dalam masa sama, Giant memaklumkan harga beras jenama Sunglower jenis Pure Basmathi itu telah diturunkan serta-merta daripada RM55.90 kepada RM35 iaitu harga promosi sebenar.
“Kami komited untuk berkhidmat secara adil dan telus, terutama kepada pembeli MyKasih, dan sedang berusaha memastikan isu seperti ini tidak berulang,” ujarnya.
Giant turut memberi jaminan akan terus memantau harga barangan dan menjaga kebajikan pengguna di seluruh negara.
“Kami menghargai kepercayaan anda dan sedang berusaha untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi. Terima kasih atas sokongan berterusan anda,” ujarnya – KOSMO! ONLINE