PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan tiga individu susulan hantaran palsu berunsur perkauman di laman Facebook dan TikTok berkaitan insiden seorang wanita naik ke pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, hantaran itu mendakwa kononnya tindakan berkenaan dilakukan oleh seorang wanita berbangsa Cina, sedangkan perkara tersebut tidak benar dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.
Rakaman keterangan dibuat di tiga lokasi berasingan semalam iaitu Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan; serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.
“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori telah disita untuk analisis forensik digital,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengesahkan kesahihan maklumat sebelum menyebarkan sebarang kandungan di media sosial. – KOSMO! ONLINE.