SUNGAI PETANI – Seekor anjing dari Unit K9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang diberi nama Goran menjadi haiwan pertama diserahkan kepada penjaga baharu untuk dipelihara menerusi Program Adopsi K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anjing baka German Shepherd dari Czechoslovakia itu kini berusia lapan tahun dan berkhidmat dengan PDRM selama enam tahun sebelum bersara pada 16 Julai tahun lalu atas nasihat doktor veterinar.
Ketua Penolong Pengarah D6, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zuraimi Zam Zam berkata, program itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Julai lalu.
Goran membantu mengesan bahan kes di 60 lokasi kejadian jenayah, membuat rondaan cegah jenayah sebanyak 213 kali dan 40 tugasan jaga aman.
Antara kejayaan membanggakan Goran adalah membantu menyelesaikan kes bunuh di Kampung Batu 7, Binjul Luar, Kuala Ketil tahun lalu.
Sementara itu, pengendalinya, Koperal M. Shivabalan, 38, berkata, dia melihat perubahan Goran yang bekerja dengannya sejak hari pertama enam tahun lalu bertukar murung dan tiada selera makan seolah-olah tahu akan berpisah.
“Kami seperti adik dan abang, sejak ditamatkan perkhidmatan Goran menunjukkan perubahan ketara termasuk enggan berjauhan dengan saya. Saya menguruskan keperluan Goran, menjaganya ketika sakit.
“Saya turut terkesan dengan perpisahan ini, tetapi apakan daya Goran mengalami masalah pada tulang pinggul,” kata anggota polis itu.
Penjaga baharu Goran, Inspektor Lee Sheng Wey yang bertugas di Unit D9, JSJ Perak berkata, dia akan menjaga haiwan tersebut dengan baik agar dapat membiasakan diri seperti anjing peliharaannya yang lain. – KOSMO! ONLINE